Sabtu, 24 Disember 2016

PANDANG- PANDANG, JELING- JELING

Tinggal kurang dari dua minggu untuk anak-anak kembali semula ke sekolah; bertemu rakan- rakan dan guru tercinta.
Ibu bapa juga hampir siap menyediakan keperluan persekolahan anak-anak. Lebih debaran kepada ibu bapa yang anak sulungnya pertama kali menjejak kaki ke sekolah.
Tapi, antara sedar atau tidak..
Bagaimanakah status pakaian sekolah anak-anak kita yang sudah tidak digunakan? Mungkin kerana sudah memegang jawatan tertentu atau saiz tubuh yang sudah membesar.
Adakah pakaian 'lama' itu tersimpan rapi?
Mungkin ini ruang kita untuk bersedekah kepada rakan-rakan atau sahabat kita yang memerlukan. Sekurang- kurangnya, pahala sentiasa mengalir kepada kita selagi pakaian itu dipakai, betul tak?
Sebab tak semua orang mempunyai kewangan yang baik menjelang tahun baru persekolahan
Cuma pastikan pakaian itu masih dalam keadaan elok lah ya :)
Selamat beramal~

Sumber foto google



Cikgu Mn Nazri Tumari
www.procutisekolah.blogspot.com

ANAK & SMARTPHONE

Berkongsi pengalaman semalam; saya menyelesaikan beberapa urusan rutin bulanan di Johor Bahru dengan membawa semua ahli keluarga. Selang 20 minit perjalanan, baru saya sedar smartphone saya tertinggal! Subhanallah, boleh jiwa kacau ni! Tapi kasihnya Allah menggerakkan hati saya bahawa pasti ada hikmahnya. Lantas saya meneruskan perjalanan seperti biasa. Mengajar diri untuk redha sepanjang hari. Seharian tanpa gadjet peribadi; saya cuba untuk percaya tiada masalah yang akan berlaku. Allah kan ada!. Hikmahnya, saya lebih fokus dan sangat selesa! (ini perkataan terbaik yang boleh saya gunakan). Saya tiba di rumah sekitar jam 11.45pm. Masih boleh tersenyum mengejutkan anak-anak yang masih lena masuk ke rumah dan mengangkat anak ketiga masuk ke bilik tidurnya.

Smartphone memudahkan urusan dan kerja seharian kita tapi adakah ia membantu secara total? Jelas ada pro dan kontranya bila dibahas tentang teknologi ini tetapi tidak salah jika kita muhasabah diri buat seketika, adakah sikap kita dalam 'kebergantungan kepada Allah' tetap utuh walaupun denga adanya gadjet ini? Sebab itu semalam Allah 'mengajar' saya, dengan tertinggalnya smartphone, saya belajar melihat betapa asyiknya manusia dengannya! Selama ini saya hanya membaca di internet dan majalah tetapi semalam saya 'diajar' untuk membuat 'pemerhatian' sendiri. Daripada menunggu lampu isyarat bertukar hijau, menikmati makanan, ketika menaiki eskelator, menolak anak kecil dalam troli pasaraya, jurujual yang menanti kehadiran pelanggan hinggalah ketika makmum sedang mengaminkan bacaan doa imam selepas solat berjemaah. Sangat tertampar; seolah-olah ia adalah post-mortem buat diri sendiri! Betapa asyik dan pentingnya smartphone ini.
Di situlah kita boleh bayangkan bagaimana jika seorang kanak-kanak boleh 'menggila' kerana tidak mendapat bermain dengan smartphone seperti kebiasaannya. Bagaimana seseorang yang ketagih sanggup bergerak ke mcd atau restoran mamak untuk mendapatkan wifi percuma. Sangat indah jika beginilah juga kebergantungan kita kepada Allah, percaya dengan rezekinya, redha dengan ujian yang disediakan untuk kita setiap hari. Sentiasa berusaha untuk sentiasa 'connect' dengan DIA. Ya terkadang kita terlupa kita yang selalu disconnect dengan Allah walhal Allah 24jam setiap saat sentiasa memerhatikan kita dengan penuh kasih sayang.
Benarlah kata bijak pandai, smartphone mendekatkan yang jauh tetapi jangan sampai menjauhkan yang dekat. Yang lebih penting, jangan sampai 'bertuhankan'smartphone. Didiklah anak kita dengan mengenali Allah pencipta segala-galanya. Ya, i-phone sangat hebat. Tetapi orang yang merekaciptanya pasti lebih hebat. Namun, Allah yang memberi manusia akal untuk membolehkannya berfikir dengan kreatif adalah Maha berkuasa atas segala-galanya.


Cikgu Mn Nazri Tumari
www.procutisekolah.blogspot.com

BAGAIMANA JADUAL TIDUR ANAK KITA?

Satu kenyataan yang menarik; tidur adalah rehat, tetapi kenapa masih lesu apabila bangun daripada tidur? Soalan ini saya ajukan kepada anak-anak kita. Perlukah belajar untuk mendapat tidur yang berkualiti? Pernah anak kita melalui situasi ini? ;
1. Bangun tidur dan menangis?
2. Bangun tidur tetapi merengek- rengek?
3. Bangun tidur tetapi masih 'mamai' seolah-olah macam tak cukup tidur?
4. Bangun tidur selepas dikejut berulang- ulang kali?
Semua situasi di atas sangat berkaitan dengan banyak perkara; antaranya pola pemakanan, aktiviti sebelum tidur, dan masa melelapkan mata. Semoga perkongsian ini dapat membantu kita menikmati awal pagi yang lebih ceria, inshaallah.
Pola pemakanan
==============
Sunnah Rasulullah untuk masa makan malam adalah sama seperti waktu kita berbuka puasa iaitu 7.00 hingga 8.00 malam. Tinggalkan sebentar budaya makan malam, ngeteh lewat malam - jika kita dan anak-anak inginkan tidur yang berkualiti. Suka atau tidak, ia antara faktor mengapa anak-anak tidak dapat bangun tidur dengan selesa. Apabila makanan diambil terlalu lewat, fungsi tidur yang pada asalnya untuk 'merawat sistem tubuh' terpaksa melakukan kerja tambahan dengan memproses makanan. Itu belum diambil kita apa jenis makanan yang anak kita makan! Contoh; sebungkus mee segera mengambil masa 72 jam untuk penghadaman. Sebagai Alternatif, boleh digantikan dengan buah-buahan jika anak terasa lapar selepas makan malam.
Aktiviti sebelum tidur
=================
Zaman di awal 80an, sangat terbatas aktiviti malam yang boleh dibuat, selepas makan malam, mengaji, lampu pam akan ayah tutup. Jadi, pilihan apa yang ada dalam kegelapan? Tidur dan bersembang atas tilam. Itu pun tak boleh kuat sangat atau akan dimarahi ;).
Hari ini, dengan adanya astro, modem internet wifi; cukup untuk menerangkan bila agaknya anak kita akan tidur; melainkan ibu bapa bijak menguruskan teknologi ini. Saya pernah mendengar cerita daripada seorang ibu, bagaimana anaknya mempermainkan neneknya. si cucu berjanji akan masuk tidur selepas cerita kartun tamat. Menggunakan astro, masa bila rancangan kartun akan tamat? Akhirnya si cucu tertidur depan televisyen!
Apa idea terbaik bagi aktiviti sebelum tidur? Lakukan aktiviti yang melibatkan otak iaitu membaca! Ya, membaca. Mengaji Al-Quran, membaca buku cerita. Ini menyebabkan sistem tubuh boleh berehat lebih awal dan ya, boleh menyebabkan mengantuk! Kenapa? Sebab apabila kita membaca, ia melibatkan banyak proses otak seperti membaca, memahami dan imaginasi. Cuma pastikan aktiviti ini dilakukan secara berjemaah ya!
Masa melelapkan mata
====================
Dua perkara di atas cukup memberi gambaran pukul berapakah anak kita akan tidur. Bagi anak yang bersekolah, ia bukan alasan sebenarnya untuk tidur lambat. Apa guna tidur lewat dengan menyiapkan kerja sekolah? Tiada fakta kukuh yang menyokong situasi ini!
Mengambil pandangan Dr. Rizal, seorang pakat otak yang berpengalaman lebih 10 tahun mengkaji tentang proses tidur, sepatutnya kita perlu menetapkan masa untuk tidur yang sama setiap hari! Masa bangun yang boleh diubahsuai. Sebab? Ia memberikan otak satu 'jadual' kerja yang sistematik untuk melakukan proses pemulihan tubuh. Dan proses ini berlaku selepas 4 jam kita tidur. Jika anak mempunyai jadual tidur yang tidak tetap, agak-agak bilakah sistem tubuh perlu memulakan proses pemulihan? Dan akhirnya proses dilakukan sekadar lebih kurang sahaja. Dan hasilnya apabila bangun tidur, menghadapi antara 4 situasi di atas.
Jadi, ilmu tidur pun kena tahu supaya anak-anak kita dapat tidur yang berkualiti, bukan sekadar cukup.

Sumber foto google


Cikgu Mn Nazri Tumari
www.procutisekolah.blogspot.com

PEMERIKSAAN GIGI UNTUK ANAK | PENGALAMAN UNIK TETAPI MENARIK

Alhamdulillah, selesai satu lagi perancangan kami untuk cuti sekolah anak-anak; membawa mereka ke klinik gigi untuk pemeriksaan. Tentunya ada ibu bapa di luar sana turut melakukan perkara yang sama kan?
Pengalaman tidak boleh dibeli melainkan empunya diri 'menikmati' dengan mata kepala sendiri terhadap sesuatu perkara yang boleh dipelajari. Bermula dari si kakak yang berumur 9 tahun hinggalah si adik berumur setahun lebih, semuanya berpeluang merasa debaran ketika berada bersama-sama doktor gigi.
Hanya sekadar rutin yang disarankan oleh doktor juga; membawa anak berjumpa doktor gigi 2 kali setahun. Kali pertama tentunya semasa di sekolah. Untuk kali ke dua saya membawa sendiri mereka ke sini. Rupanya doktor gigi sangat menggalakkan ibu bapa membawa anak mereka seawal adanya gigi untuk menjalani pemeriksaan. Sebabnya adalah untuk mengenal bahawa doktor gigi bukanlah 'musuh' kepada anak-anak. Naurah; anak ke-3 yang berumur 3 tahun sangat selesa semalam kerana ini pertemuan kali kedua sejak tahun 2015. Pada ketika ini, anak- anak mempunyai struktur gigi susu yang cantik, maka melambunglah pujian diberikan oleh doktor gigi!
Cuba bayangkan jika anak bertemu doktor gigi seawal darjah 1; dengan kondisi gigi yang tak berapa cantik. Lebih parah bila diperiksa, ada gigi yang perlu dicabut atau tampal. Sah, tahun hadapan ia akan menjadi mimpi ngeri kepada si anak itu. Jika dipertemukan lebih awal, sekurang-kurangnya anak kita mendapat nasihat terus daripada pakar kepada anak kita. Nasihatnya sama seperti kita beri. Bezanya ialah siapa yang memberi nasihat itu. Jika kakitangan kerajaan, ianya percuma (semakan melalui data HRMIS). Jika tidak, RM1 akan dicaj bagi setiap seorang yang mendapatkan rawatan. Apa yang menarik, mereka sediakan bilik khas untuk pemeriksaan dan rawatan gigi kanak-kanak. Special kan?
Cuti sekolah masih berbaki. Apa kata beri pengalaman berharga kepada mereka. Seperti kata anak saya, Naurah; "doktor gigi baik kan ayah? 

Sumber foto:google


Cikgu Mn Nazri Tumari
www.procutisekola.blogspot.com


PERNAH BAWA ANAK-ANAK KE PERPUSTAKAAN?

Semua tahu perpustakaan adalah 'ladang buku'. Tetapi, pernahkah kita membawa anak- anak ke sana? Kepada ibu bapa yang berjaya membawa anak- anak ke perpustakaan, tahniah saya ucapkan. Bagi yang tidak pernah lagi membawa anak- anak ke sana, nasihat dan permintaan saya; bawalah mereka ke sana. Inshaallah anda akan menemui jawapannya di sana nanti.

Hari ini, perpustakaan telah diberikan nafas baru berbanding apa yang kita jangkakan. Alhamdulillah, saya telah menetapkan jadual saya untuk membawa anak-anak sama ada ke Perpustakaan Awam Mersing, Perpustakaan Awam Kota Tinggi atau Perpustakaan Sultan Ismail Johor Bahru pada setiap bulan. Paling tidak, setiap kawasan perumahan atau kampung pasti ada disediakan kemudahan perpustakaan awam ini. Mungkin ada ibu bapa yang akan tertanya- tanya apakah yang 'best' sangat perpustakaan awam ini? Ini antara jawapan yang mungkin akan mengujakan anda!
1. Perpustakaan melanggan hampir semua jenih majalah; sama ada untuk kanak- kanak (asuh, ana muslim, adikku sayang dll) hinggalah ke majalah dewasa (PC, Mingguan Wanita dll) pada setiap bulan. Anda juga boleh 'request' kepada pihak perpustakaan jika majalah yang anak anda minati tiada (berbentuk ilmiah)
2. Menjimatkan kewangan ibu bapa; daripada perlu mengeluarkan belanja setiap bulan untuk membeli buku; yang pastinya bergantung kepada budget bulanan. Pasti anak kita suka kerana mereka tahu tidak akan ketinggalan edisi setiap bulan.
3. Aura minat membaca sangat mudah dipupuk dan menjadi 'kegilaan' kepada anak selepas itu. Saya gunakan ayat ini kerana itulah yang berlaku kepada anak saya sendiri. Macamana reaksi anak jika diajak ke KFC, begitulah reaksinya jika diajak ke perpustakaan!. Apa jua jenis bahan bacaan telah disediakan; daripada buku kecil yang keras hinggalah kepada 'big book'.
4. Perpustakaan ada menganjurkan aktiviti kepada anak-anak (rujuk jadual perpustakaan berhampiran anda). Secara tidak langsung kita berjaya memberikan waktu yang bermanafaat kepada mereka sambil anda dapat membaca buku kegemaran anda :)
5. Suasana yang sangat bersih dan selesa. Dengan penghawa dingin, kawan- kawan baru yang ramai, pasti anda mendapat kawan dengan mereka yang juga mengambil berat tentang kecemerlangan anak-anak mereka.
Sebenarnya banyak lagi kelebihan perpustakaan ini. Jom, bawa anak-anak kita ke perpustakaan. Pasti mengujakan kita dan anak-anak !
JOM!



Cikgu Mn Nazri Tumari
www.procutisekolah.blogspot.com

KELUARGA BAHAGIA | SEMUA BERMULA DENGAN NIAT

Kebahagiaan rumahtangga menjadi idaman kepada semua pasangan suami isteri juga ibu bapa. Solat berjemaah, alunan bacaan Al-Quran setiap hari, makan bersama-sama dan keceriaan setiap ahli keluarga boleh dimiliki oleh kita yang mendambakannya. Cuma terkadang kita tidak melihat dan belajar daripada mata hati, bagaimana ia boleh dibina. Lebih jauh lagi adalah bagaimana untuk kebahagiaan ini berkekalan bila diuji oleh Yang Maha Penyayang. Saya percaya ada satu ketika kita akan berdiam, memikirkan akan hal ini.
Jom kita hayati maksud hadith Rasulullah S.A.W ini.
Maksudnya : "Segala amalan itu bergantung dengan niatnya. Dan tiap-tiap seorang akan mendapat sekadar apa yang diniatkannya. Barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya maka hijrahnya kerana Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia serta ingin memperolehinya, atau pun berhijrah kerana seorang perempuan yang ia ingin nikahinya maka hijrahnya itu adalah (mengikut) apa yang ia (niat) berhijrah kerananya". (HR Bukhari & Muslim)
Nah, langkah pertama; berniatlah untuk memiliki keluarga yang sentiasa mendapat rahmat dan barakah Allah S.W.T. Inshaallah, pasti bimbingan daripada Allah akan bermula buat kita. Pernah tak kita berniat untuk bangun awal pagi dan menetapkan 'alarm' pada smartphone atau jam loceng. Tetapi akhirnya kita bangun lebuh awal sebelum alarm tersebut bunyi? Itu bukan nasib, tetapi Allah yang menjagakan kita. Contoh mudah yang biasa kita alami kan?
Kemudian, carilah ilmu keibubapaan, ilmu membina keluarga yang Allah suka dan amalkan. Apa yang Allah tak suka cuba kurangkan dan tinggalkan. Amalkan di rumah dan ia bermula dengan ibu bapa. Buatlah sedikit demi sedikit. Tiada istilah terlambat untuk berubah demi sebuah sebuah keluarga yang bahagia. Bahagia tidak terletak pada nilai harta yang kita miliki tetapi pada nilai hati kita; betapa kita kenal atau tidak siapakah Pemberi Kebahagiaan itu yang tiadak lain ialah Allah.
Saya yakin, apabila Allah mengkehendaki kebahagiaan itu hadir dalam keluarga kita, tidak ada siapa yang boleh menghalangnya, kerana Allah adalah pemilik sekelian alam; juga pemilik hati dalam diri kita semua. Keluarga Bahagia; Kita Suka, Allah juga Suka!

Cikgu Mn Nazri Tumari
www.procutisekolah.blogspot.com

Ahad, 18 Disember 2016

SIAPA KAWAN-KAWAN ANAK KITA?

Dalam satu keadaan, ibu bapa terpaksa akur bahawa acapkali mereka dihormati kerana si anak 'takut'; akibat denda dan hukuman yang menanti jika melanggar arahan. Hal ini sangat berbeza dengan kawan-kawan mereka. Anak menghormati kawan kerana mereka suka dan selesa setiap kali bersama; bahkan jika anak baru sahaja dirotan, kesakitan itu seolah- olah hilang apabila bertemu kawan-kawan mereka. Apakah ini langkah yang wajar diteruskan? Kita bukan Tuhan; yang akan hidup selama-lamanya. Sebab itulah ada anak-anak yang berkelakuan baik di rumah tetapi apabila di sekolah, sangat berbeza perwatakkannya!

Kawan, Sahabat, dan Teman sangat jelas memberi impak dalam membentuk karektor kepada sahsiah diri anak kita. Pelajaran meningkat, sahsiah terpuji, penampilan semasa- semuanya berkait langsung dengan siapa anak kita berkawan. Perlu diakui bahawa kawan mereka memberi pengaruh yang amat besar; bermula daripada berjumpa, bermain, meluah perasaan, berkongsi masalah dan pandangan.

'Carilah kawan yang baik'; apa yang dimaksudkan dengan kawan yang baik?  Saya kongsikan 7 tips kawan yang baik daripada buku 'Didiklah Dari Hati', nukilan Ustaz Pahrol Muhamad Juoi.

1. Kawan yang menjaga hubungannya dengan Allah. (Solat, mengaji dll)

2. Kawan yang menjaga hubungan dengan manusia.(hormat, tepati masa)

3. Kawan yang menjaga agama dan kehormatan diri. (Menjaga batas pergaulan, menutup aurat)

4. Kawan yang taat kepada ibu bapa.

5. Kawan yang bercita- cita tinggi (menyintai ilmu, bercakap perkara yang ilmiah)

6. Kawan yang bijak mengurus masa. (Belajar, bermain, membantu keluarga)

7. Kawan yang tidak mementingkan diri sendiri. (Suka berkongsi, membantu, empati)

Sebab itulah ibu bapa sebaiknya perlu mengenali setiap kawan kepada anak-anak kita dan seterusnya belajar untuk menjadi kawan kepada kawan anak-anak kita. Ajaklah mereka datang ke rumah, berbual-bual untuk memecahkan 'tembok usia' yang memisahkan umur kita dengan mereka.

# Kredit to Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

Cikgu Mn Nazri Tumari
www.procutisekolah.blogspot.com