Ahad, 11 Disember 2016

PENDIDIKAN DI RUMAH; SATU 'PROSES' YANG BERTERUSAN

Assalamualaikum & Salam Maulidur Rasul

Selawat ke atas Junjungan Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga dan para sahabat Baginda; yang menjadi contoh terunggul dalam segala aspek kehidupan - termasuklah isu kekeluargaan.

Soalan; apakah gambaran yang terbina di dalam minda apabila kita menyebut/ mendengar perkataan PENDIDIKAN? umumnya pastilah 'sekolah'. Jika itu jawapannya, maka anda betul. Cuma yang membezakan sekolah itu adalah adakah gambarannya ialah sebuah sekolah atau rumah kediaman kita. Cuba imbas soalan latih tubi ini dan pasti kita akan senyum sendirian :

Siapa guru pertama anak kita? IBUBAPA
Apa sekolah pertama anak kita? RUMAH
Apakah buku pertama anak kita? QURAN

Pendidikan merupakan TUNJANG UTAMA  dalam sesebuah keluarga; malah sama penting dalam memperbaiki diri. Dalam sebuah keluarga, ia bermula daripada pemimpinnya iaitu ibu dan ayah. Umumnya, ramai di antara kita lebih menitikberatkan tanggungjawab dalam bentuk fizikal seperti keperluan rumah, pakaian dan makanan sehingga terlepas pandang aspek pendidikan. Ditambah lagi dengan kewujudan sekolah @ institusi pendidikan, kelas- kelas mengaji, program- program cuti sekolah, menjadikan seolah-olah ibu bapa boleh menjadikan ia sebagai pelengkap kepada keperluan pendidikan anak-anak.

Pendidikan adalah segala-galanya; bermula daripada rumah- bermula seawal mata terjaga dari lena. Semua yang berlaku di rumah jika mempunyai teras pendidikan yang betul, inshaallah, ragam dan kerenah anak- anak dapat diminimumkan. Tanyalah guru di sekolah, betapa sukarnya untuk menyampaikan ilmu pelajaran kepada murid jika murid tidak bersedia (tiada asas pendidikan di rumah). Saya menekankan pendidikan daripada aspek kesediaan hati untuk 'belajar sesuatu'. Dengan contoh ini mungkin kita akan mudah faham.

Berapa kalikah kita mengingatkan anak supaya meletakkan pakaian kotor di dalam bakul?

Adakah dengan sekali arahan, anak kita akan terus mandi? Membuat kerja sekolah? Bersolat? Membasuh kasut?

Jika jawapannya bukan sekali, maka pendidikan di rumah perlu di mantapkan. Bagaimana caranya? Dengan ibu bapa perlu ada pendidikan dahulu. Caranya?  Dengan menambah ilmu! Tinggalkan warisan pendidikan datuk nenek kita yang lalu yang tidak efektif lagi pada hari ini; pesta membebel, memarahi anak tanpa sebab, memukul dan pelbagai lagi 'kaedah' zaman lalu. Ya, ada yang akan menjawab "kerana didikan demikianlah kami berjaya pada hari ini". Orang dahulu, pendidikannya terbatas, tidak banyak sekolah, jika ada yang berketurunan ulama', Alhamdulillah.

Sebenarnya, rujukan sebenar adalah daripada apa yang Rasulullah S.A.W sabdakan iaitu Al-Quran dan Hadith. Laburkanlah sedikit wang untuk melakukan tranformasi pendidikan di rumah. Antara idea yang saya boleh kongsikan di sini:

1. Membeli buku tentang pendidikan anak- anak

2. Meminjam buku di perpustakaan awam (paling suka;sebab boleh pinjam 15 buku!!)

3. Menghadiri ceramah agama di masjid (topiknya pelbagai) tetapi percuma

4. Menghadiri seminar berbayar (sangat banyak dan boleh pilih mana yang berminat)

5. Mendengar daripada youtube (terima kasih kepada yang merakam ;) )

Bila ibu bapa mula berubah, cara pendidikan anak inshaallah pasti berubah. Namun ingat, perubahan hakiki adalah daripada Allah, bukan daripada kita. Yang penting ibu bapa harus sedar bahawa pendidikan adalah SATU PROSES BERTERUSAN. Ia memakan masa, menuntut kesabaran dan idea-idea yang kreatif. Jangan malu untuk bertanya!


Cikgu Mn Nazri Tumari
www.procutisekolah.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan