Alhamdulillah, masih diberi nafas oleh Allah untuk terus menikmati segala anugerah dari Allah S.W.T. yang tidak lebih hanya sekadar pinjaman sementara.
Biasakah kita bercerita dengan anak-anak? Pasti pernah bukan? Cuma adakah penceritaan itu masih berterusan atau hanya 'pakej' di awal peringkat kanak-kanak kecil sahaja. Lumrah seorang kanak- kanak untuk mendengar cerita, cuma ia bergantung kepada kualiti 'persembahan' kita. Adakah versi seorang artis, penglipur lara, pemidato atau berleter :)
Apa fungsi cerita? Menanam nilai murni dalam diri anak. Ya, cakap memang mudah tetapi keberhasilannya hanya boleh dilihat daripada tindak balas mereka selepas cerita disampaikan. Cerita apa yang kita persembahkan adalah terpulang kepada kreativiti ibu bapa; janji menyeronokkan. Kalau tiada pengalaman, kenalah hadir kelas bercerita rasanya :). Sehingga ada dapatan mendapati, ramai ibu bapa mampu untuk menjadualkan masa dengan anak-anak; tetapi hanya sebahagian kecil yang bersedia untuk berkomunikasi dengan mereka dalam keadaan yang menyeronokkan!
Kisah para nabi antara ideologi terbaik perkisahannya. Jika mampu, selitkan dengan petikan daripada Al-Quran. Pasti teruja si anak mendengarnya. Rileks, jangan tertekan pula. Banyak buku bacaan ringan di pasaran. Laburlah sedikit wang ringgit ya; ataupun pinjam di perpustakaan awam. Hikmah bercerita sangat banyak; mengeratkan kasih sayang dan menanam rasa sayang dan hormat daripada anak kepada ibu bapa dan sebaliknya. Begitu juga menerbitkan rasa syukur atas nikmat Allah kepada kita.
Ceritakan apa yang sedang berlaku di dunia pada hari ini. Contoh; tunjukkan dan ceritakan bagaimana keadaan yang sedang bergolak di Syiria, dan Rohingya. Gunakan smartphone anda paparkan video-video dan gambar- gambar rakyat di sana. Bagaimana pula dengan keadaan rakyat Somalia dan Afrika yang kebuluran dan mati akibat kekurangan makanan yang sangat ketara - pasti menzahirkan rasa kasihan pada diri anak-anak kita; lantas bersyukur dengan apa yang ada dinikmati, dihayati dan dihargai. Kalau tidak mahir bercerita, biar sahaja gambar berbicara.
Anak- anak mempunyai rasa simpati yang sangat mudah disentuh. Usah biar rasa kasihan dan simpati itu hilang lantas mengaburi sifat bersyukur kepada Pencipta yang Agung!
Cikgu Mn Nazri Tumari
www.procutisekolah.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan