Alhamdulillah, selesai satu lagi perancangan kami untuk cuti sekolah anak-anak; membawa mereka ke klinik gigi untuk pemeriksaan. Tentunya ada ibu bapa di luar sana turut melakukan perkara yang sama kan?
Pengalaman tidak boleh dibeli melainkan empunya diri 'menikmati' dengan mata kepala sendiri terhadap sesuatu perkara yang boleh dipelajari. Bermula dari si kakak yang berumur 9 tahun hinggalah si adik berumur setahun lebih, semuanya berpeluang merasa debaran ketika berada bersama-sama doktor gigi.
Hanya sekadar rutin yang disarankan oleh doktor juga; membawa anak berjumpa doktor gigi 2 kali setahun. Kali pertama tentunya semasa di sekolah. Untuk kali ke dua saya membawa sendiri mereka ke sini. Rupanya doktor gigi sangat menggalakkan ibu bapa membawa anak mereka seawal adanya gigi untuk menjalani pemeriksaan. Sebabnya adalah untuk mengenal bahawa doktor gigi bukanlah 'musuh' kepada anak-anak. Naurah; anak ke-3 yang berumur 3 tahun sangat selesa semalam kerana ini pertemuan kali kedua sejak tahun 2015. Pada ketika ini, anak- anak mempunyai struktur gigi susu yang cantik, maka melambunglah pujian diberikan oleh doktor gigi!
Cuba bayangkan jika anak bertemu doktor gigi seawal darjah 1; dengan kondisi gigi yang tak berapa cantik. Lebih parah bila diperiksa, ada gigi yang perlu dicabut atau tampal. Sah, tahun hadapan ia akan menjadi mimpi ngeri kepada si anak itu. Jika dipertemukan lebih awal, sekurang-kurangnya anak kita mendapat nasihat terus daripada pakar kepada anak kita. Nasihatnya sama seperti kita beri. Bezanya ialah siapa yang memberi nasihat itu. Jika kakitangan kerajaan, ianya percuma (semakan melalui data HRMIS). Jika tidak, RM1 akan dicaj bagi setiap seorang yang mendapatkan rawatan. Apa yang menarik, mereka sediakan bilik khas untuk pemeriksaan dan rawatan gigi kanak-kanak. Special kan?
Cuti sekolah masih berbaki. Apa kata beri pengalaman berharga kepada mereka. Seperti kata anak saya, Naurah; "doktor gigi baik kan ayah?
![]() |
Sumber foto:google |
Cikgu Mn Nazri Tumari
www.procutisekola.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan